Tuesday, 24 November 2015

Pengaruh Rock barat kepada pemuzik Malaysia

Satu contoh bagaimana muzik hard rock mempengaruhi perkembangan muzik di Malaysia ialah Man Kidal. Kita boleh mendengar dalam rakaman album Search “Cinta Buatan Malaysia 1985” dimana gitarnya lebih kepada pengaruh dari Van Halen, Micheal Schenker (Scorpion), Iron Maiden & Deep Purple.


Didalam rakaman album band Lefthanded tahun 1986 permainannya sudah beralih kepada pengaruh muzik Yngwie.  Pemain drum Yazid dari band Search ialah peminat John Bonham iaitu drummer kepada Led Zeppelin. Amy Search yang semasa remaja nya sering mendengar lagu-lagu dari Rolling Stone, Deep Purple & Led Zeppelin. Hillary guitarist Search, bunyi gitarnya seperti Van Halen & Journey. Sudirman pernah menjemput Hillary dari band Search untuk bermain gitar dalam rakaman album “Kulit” kerana petikannya yang garang seperti Van Halen dalam lagu Beat It Micheal Jackson.  Muzik rock Malaysia pada pertengahan tahun 1980an menampilkan ciri-ciri kebaratan tanpa irama kemelayuan kecuali ia dinyanyikan dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun sebelum gelombang rock melanda Malaysia ada terdapat beberapa lagu yang ada unsur-unsur kemelayuan dalam album Sweet Charity & Search (Cinta Buatan Malaysia). Ini adalah kerana muzik rock yang masih baru pada masa itu dan juga untuk memikat citarasa pendengar muzik tempatan dan juga berkaitan dengan pasaran tempatan. Memang tidak dapat dinafikan lagi remaja Malaysia terutama para pendengar lagu Melayu sudah bosan pada masa itu mendengar lagu-lagu pop sentimental  atau irama tempatan. Mereka beralih kepada muzik Rock barat yang rancak & segar sama juga seperti remaja di tahun 1990an yang mahu beralih mendengar muzik baru alternative atau Muzik Indie. Bagaimana pun oleh kerana orang Malaysia sangat gemar kepada muzik rentak perlahan maka kebanyakan band Rock Malaysia hanya dapat naik terkenal dengan lagu-lagu "slow rock". Ini dapat kita lihat sendiri dari persembahan seperti "Juara-juara lagu TV3" & persembahan muzik di RTM akhir 80an & awal 90an". Tetapi tidak kepada peminat & pemuzik rock yang serius di seluruh Malaysia, mereka lebih suka mendengar lagu-lagu rancak irama Rock & Metal. "Slow Rock" dalam erti yang sebenarnya ialah rentak drum atau beat 3/4 seperti rentak drum dalam lagu Unchained Melody. Tetapi oleh kerana terdapat juga lagu Rock berbunyi gitar distortion dalam irama & rentak yang perlahan maka terma atau panggilan "slow rock" diguna pakai oleh orang ramai. Kalau di Amerika lagu rock rentak perlahan dipanggil "Rock Ballad".  

Walaupun irama hard rock, metal, glam rock, progressive rock & punk rock sudah lama digemari para pendengar muda Malaysia semenjak tahun 1970an lagi, tidak ada satu band tempatan yang ada merakam lagu irama tersebut di Malaysia. Kecuali Sweet Charity yang berasal dari Singapura & beberapa band dari Indonesia seperti God Bless. Kalau ada pun pemuzik rock mereka hanya bermain di pentas awam atau kelab juga merakam lagu dalam genre berlainan. Syarikat rakaman tempatan tahun 1970an & 1980an juga tidak berani untuk menerbit lagu berentak irama rock yang aggresive kerana pasaran & penerimaan penduduk Malaysia yang lebih suka mendengar muzik pop, sentimental & irama Melayu. Oleh kerana tidak banyak album muzik rock apa lagi lagu-lagu heavy metal berbahasa melayu maka remaja Malaysia telah menubuhkan band mereka sendiri yang berpandukan kepada muzik rock barat dengan berharap suatu hari nanti mereka dapat merakam lagu rock dalam bahasa Melayu. 

   Tahun 90an pula band Malaysia OAG mendapat inspirasi dari Oasis band alternative British yang bermain muzik ala The Beatles. Begitu juga dengan pemuzik alternative tempatan mereka bermain, mencipta lagu & merakam lagu sendiri berpandukan pengaruh & inspirasi muzik alternative barat.



No comments:

Post a Comment